Author: Unknown
•12:11 PM
SOLAT sunat walaupun tidak diwajibkan, tetapi kepentingannya tidak boleh dipandang remeh oleh setiap umat Islam. Dalam erti lain, solat sunat merupakan penambahbaikan kepada solat fardu sekiranya terdapat kekurangan ketika menunaikan ibadat wajib itu.

Lebih-lebih lagi apabila ibadat solat merupakan perkara pertama sekali yang dihitung oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Seorang sahabat Rasulullah, Yahya Ya'mar meriwayatkan bahawa baginda berkata: "Sesungguhnya amal perbuatan pertama yang dihisab pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya sempurna, maka tercatat ke atasnya sempurna, jika tidak sempurna terjadi, Allah menyatakan kepada malaikat, "Perhatikan sama ada hamba aku didapati melakukan solat sunat. Sempurnakan solat itu dengan amalan solat sunat. Kemudian baru dihitung zakat dan seterusnya."

Oleh demikian, berdasarkan hadis berkenaan, jelas terbukti bahawa solat sunat merupakan ibadat penting. Tanggapan untuk mengabaikannya dengan memahami bahawa ibadat berkenaan hanya semata-mata sunat sahaja perlu ditepis oleh umat Islam.

Sehubungan itu, bagi mengajak masyarakat untuk mendekati dan menunaikan solat sunat, dua tokoh agama yang tidak asing lagi dalam dunia keilmuan Islam tanah air, iaitu Prof. Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid dan Rohidzir Rais berpandu tenaga menerbitkan sebuah buku bertajuk Bimbingan Lengkap Solat Sunat.

Menarik buku terbitan PTS Milliennia Sdn. Bhd. itu, setiap kupasan solat sunat bermula daripada solat sunat rawatib sehinggalah ke solat sunat malam dibincangkan melalui ilustrasi gambar rajah selain penjelasannya dibuat dengan poin-poin ringkas.

Berbanding buku pengajian solat yang diterbitkan oleh sesetengah penulis, setiap bimbingan solat sunat dalam buku berkenaan tidak dibuat secara panjang lebar tetapi dilakukan dengan mudah dan ringkas serta sesuai dibaca oleh setiap lapisan umur.

Eksperimen pertama Mahmud Zuhdi dan Rohidzir itu sebenarnya dilihat untuk mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada Allah melalui solat sunat dengan sebuah buku dengan penjelasan mudah.

Tidak dinafikan bahawa dalam usaha menuntut ilmu diperlukan seorang guru agar kita tidak menjadi sesat, tetapi penerangan yang dibawa oleh Bimbingan Lengkap Solat Sunat itu sudah memadai.

Buat pengantin baru, kedua-dua penulis itu juga mengupas solat sunat malam pertama. Melayari bahtera rumah tangga merupakan tugas berat, oleh demikian soal itu perlu diselitkan dengan ketakwaan kepada Allah dan salah satu daripadanya adalah solat sunat malam pertama.

Kupasan itu merupakan antara salah satu perbincangan yang ditampilkan oleh Mahmud Zuhdi dan Rohidzir. Jika ingin mengetahui adab-adab pengantin baru, anda boleh mendapatkan Bimbingan Lengkap Solat Sunat setebal 442 muka surat berharga RM40.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM43.00 (Sabah dan Sarawak) itu di pasaran berhampiran.
This entry was posted on 12:11 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments:

Tinggalkan Komen Anda